|
KESELAMATAN JALAN RAYA
Wahai kaum muslimin yang
dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan
dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi
insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia
dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Islam adalah agama yang menganjurkan
umat-Nya agar sentiasa menjaga dan memelihara
keselamatan diri, nyawa, harta, agama dan
perkara-perkara yang lain. Islam juga menyuruh umat-Nya
supaya berikhtiar sedaya upaya agar menjauhkan diri
daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan
membawa kebinasaan. Perkara ini dijelaskan dalam firman
Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat
195, tafsirnya :
"Dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
bahaya kebinasaan dan baikilah dengan sebaik-baiknya
segala usaha dan perbuatan kamu, sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya".
Antara perkara yang boleh mendatangkan kebinasaan dan
kemusnahan harta serta boleh menghilangkan nyawa ialah
kemalangan jalan raya. Kemalangan jalan raya merupakan
salah satu penyebab kematian yang terbesar selain dari
pelbagai penyakit yang kronik.
Di antara punca-punca yang sering menyebabkan berlakunya
kemalangan jalan raya tersebut adalah akibat daripada
kecuaian dan kelalaian serta sikap ego pemandu ataupun
pengguna jalan raya itu sendiri, antaranya :
- sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri tanpa
memikirkan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang
lain.
- tidak mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas
jalan raya seperti memandu laju dengan tidak mengikut
had yang telah ditetapkan, tidak memasang tali pinggang
kaledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, sama
ada membuat dan menjawab panggilan atau membuat pesanan
ringkas (sms), menunggang motosikal atau basikal dengan
tidak menggunakan topi kaledar pelindung, tidak mengikut
sebarang amaran tegahan papan tanda jalan raya
termasuklah lampu isyarat, di mana sebilangan pemandu
tidak memberhentikan kereta apabila lampu isyarat merah
menyala, malahan ada pula yang cuba memecut laju tanpa
memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
- ada juga sesetengah ibu bapa atau penjaga yang tidak
bertanggungjawab membiarkan anak mereka duduk di dalam
kenderaan dengan tidak menggunakan sebarang tali
pinggang keselamatan bagi kanak-kanak dan juga
membiarkan golongan muda atau remaja di bawah umur
memandu kereta tanpa mempunyai lesen yang sah. Ada
kalanya mereka itu berkumpul untuk mencari keseronokkan
dengan mengadakan perlumbaan-perlumbaan haram yang mana
ianya boleh menganggu ketenteraman awam serta
membahayakan diri mereka sendiri dan orang lain.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan bilangan kemalangan jalan raya yang
meningkat dari setahun ke setahun, berbagai usaha telah
dibuat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya
kemalangan. Antaranya adalah dengan cara :
- mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan
kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang
pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan
undang-undang.
- mengingatkan para pemandu agar sentiasa mematuhi
undang-undang dan peraturan jalan raya melalui
kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya.
- menasihatkan para pemandu supaya sentiasa memastikan
keselamatan seperti memakai tali pinggang keselamatan,
memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain
lagi supaya pengguna jalan raya benar-benar selamat.
Sehubungan dengan ini, untuk makluman kita bersama
bahawa pada 23 April hingga 29 April 2007 adalah minggu
keselamatan jalan raya dan sambutan tersebut diadakan di
seluruh dunia termasuklah di negara kita dengan slogan
'Keselamatan jalan raya bukan suatu kemalangan'
yang mana memfokus kepada 'pengguna-pengguna
jalan raya muda'. Perlu diketahui bahawa
mengikut statistik kemalangan jalan raya di negara ini,
golongan muda adalah golongan yang paling ramai menjadi
mangsa kemalangan jalan raya.
Sesungguhnya undang-undang dan peraturan lalu lintas
jalan raya yang dibuat adalah bertujuan bagi menjaga
keselamatan dan keselesaan semua pengguna jalan raya.
Justeru itu, pengguna jalan raya hendaklah mematuhi dan
berakhlak mulia dengan menerapkan sifat-sifat kesedaran
untuk cintakan diri, keluarga serta masyarakat.
Janganlah menjadikan jalan raya sebagai gelanggang
perlumbaan dan tempat yang boleh meragut nyawa sendiri
dan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam juga telah mengajarkan kita bagaimana cara
untuk menjaga keselamatan diri iaitu dengan berdoa dan
berzikir. Sebelum keluar rumah kita digalakkan membaca
Surah Al Fatihah, Ayat Al Kursi, Surah Quraisy dan doa
ketika keluar rumah maksudnya :
"Dengan nama Allah aku bertawakal kepada-Nya dan
tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan daya upaya
dan kekuatan Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada
perbuatan sesat atau disesatkan atau daripada binasa
atau dibinasakan atau daripada zalim atau dizalimi atau
daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan".
Manakala ketika menaiki kenderaan pula amalkanlah
membaca doa sebagaimana dalam Surah Az Zukhruf ayat
13-14, tafsirnya :
"Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan
ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya
menguasainya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami
akan kembali".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Selaku pengguna jalan raya terutamanya golongan muda,
marilah kita sama-sama sentiasa mematuhi peraturan jalan
raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Amalkanlah sifat bersopan santun, hormat-menghormati dan
bertolak ansur di jalan raya. Di samping itu janganlah
kita lupa kepada Allah Subhanahu Wata'ala di setiap
keadaan, tempat dan masa dengan mengamalkan doa dan
zikir termasuklah semasa kita berada di jalan raya agar
kita mendapat keselamatan. Sama-samalah kita berdoa
semoga kita semua dihindarkan dari perkara-perkara yang
tidak diingini dan sentiasa berada dalam lindungan Allah
Subhanahu Wata'ala, Amin ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nisaa'
ayat 103, tafsirnya :
"Maka
hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu
berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring
|